Pada akhir kurun ke-18, pertikaian dan perebutan takhta yang berlaku di kalangan pembesar telah mengancam kedaulatan Kedah. Pada tahun 1770, Sultan Muhammad Jiwa telah melantik Tunku Abdullah menjadi Raja Muda Kedah. Pelantikan tersebut tidak dipersutujui oleh kerabat di raja Kedah kerana Tunku Abdullah bukan anak gahara. Mereka berpakat dengan Bugis di Selangor untuk menentang Sultan Muhammad Jiwa. Tentera Bugis yang dipimpin oleh Raja Haji telah menyerang dan menawan Kuala Kedah serta Alor Setar. Sultan Muhammad Jiwa berundur ke Kangar bagi meneruskan perjuangan.